Ads 468x60px

Jumaat, 5 Oktober 2012

JPP siasat masalah air Pulai Chondong

Kota Bharu: Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan sedia membantu kira-kira 4,000 penduduk di tujuh kampung di Pulai Chondong, Machang yang menghadapi masalah bekalan air bersih. 

Pengarahnya, Datuk Makhtar Mustapha, berkata bagi tujuan itu, pihaknya akan menjalankan siasatan di kawasan berkenaan bagi menentukan bentuk bantuan yang boleh diberikan. “Saya ada melihat keluhan penduduk di televisyen yang memerlukan bantuan penapis air... kita akan teliti menerusi aduan berkenaan dan membawanya kepada pengetahuan Datuk Seri Mustapa Mohamed (selaku Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan) untuk tindakan


sewajarnya. 

Peroleh laporan 

“Kita juga akan mendapatkan laporan dari Pejabat Jajahan Machang mengenai aduan penduduk, selain membuat siasatan sama ada kawasan berkenaan mempunyai sumber air untuk membolehkan sistem penapis air dipasang,” katanya selepas merasmikan Kejohanan Taekwondo (WTF) Kelantan, Sparring and Poomsae 2012, di Kompleks Belia dan Sukan, Panji, semalam. 

Sebelum ini, akhbar melaporkan lebih 4,000 penduduk di tujuh kampung di Pulai Chondong tidak pernah menikmati bekalan air bersih sejak 30 tahun lalu sehingga memaksa mereka menggunakan air takungan semula jadi dari bukit Lubuk Lesung untuk kegunaan harian. 

Penduduk Kampung Jenerih Bongkok, Pangkal Nering Timur, Kuala Merabang, Bukit, Paradong, Merbau Condong dan Bukit Jong itu juga terpaksa bergotong-royong membina paip di kawasan bukit berkenaan untuk memudahkan penyaluran air ke rumah mereka. 
Tiada permohonan rasmi 

Makhtar bagaimanapun mengakui, pihaknya masih belum menerima permohonan rasmi daripada penduduk dan pemimpin tempatan di kawasan berkenaan mengenai permasalahan yang berlaku. 

Mengenai dakwaan penduduk bahawa sumber air dari bukit berkenaan kotor dan mengandungi najis haiwan, Makhtar berkata, pihaknya prihatin dengan apa yang berlaku. 

“Apabila dapat surat rasmi, kita akan arahkan segera pegawai jalankan siasatan, kita juga akan fikirkan langkah dapatkan bekalan air bersih buat sementara waktu,” katanya. 


Sumber : Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Widget Busuk