Ads 468x60px

Khamis, 4 Oktober 2012

Kena tujuh tahun kes culik, bakar

Ipoh: Mahkamah Tinggi di sini, semalam menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun terhadap seorang pekerja kilang kerana menculik dan membakar seorang wanita yang menghidap penyakit buah pinggang, lima tahun lalu. 

Mohd Faizal Abdullah, 24, mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan sebelum Hakim Datuk Zainal Adzam Abdul Ghani memutuskan hukuman penjara itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 5 Jun 2008.


Bagaimanapun, mahkamah berkenaan melepas dan membebaskan dua lagi tertuduh iaitu M Thiruvarasu, 22, dan S Subramaniam, 38. 


Niat sebabkan kematian 

Faizal bersama dua rakannya itu didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga 30 tahun. 

Ketiga-tiga mereka didakwa dengan niat menyebabkan kematian Choo Mee Ying, 56, di tepi parit berhampiran kawasan tapak pembinaan jalan di Kamunting Raya, Taiping sekitar jam 3 pagi pada 4 Jun 2008. 

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Aiza Khairuddin manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam, R S N Rayer, P Ravee dan Datuk Naran Singh. 
Mengikut fakta kes, Mee Ying yang juga penghidap penyakit buah pinggang kritikal disamun di rumahnya di Bandar Baru Putra, Bercham, dekat sini, sebelum disumbat ke dalam bonet kereta dan dibawa ke lokasi kejadian sebelum dibakar. 

Abang Mee Ying, Choo Thim Hee ketika ditemui di luar perkarangan mahkamah berkata, dia menerima keputusan kes berkenaan dan tidak bercadang untuk membuat rayuan kerana kes berkenaan sudah berlarutan agak lama. 

"Saya terima keputusan itu kerana sudah tertangguh agak lama. Malah, saya juga bersedia untuk menerima sebarang keputusan dibuat mahkamah," katanya.


Sumber : Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Widget Busuk