Ads 468x60px

Khamis, 4 Oktober 2012

Penerbit buku gagal sekat tindakan JAIS

Kuala Lumpur: Syarikat penerbitan ZI Publication dan pengarahnya, Mohd Ezra Mohd Zaid, semalam gagal memperoleh perintah menahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) daripada mengambil tindakan ke atas mereka berhubung buku terjemahan Irshad Manji, 'Allah, Kebebasan dan Cinta'. 

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Rohana Yusuf, menolak permohonan ZI Publication dan Mohd Ezra itu sementara menunggu pendengaran permohonan semakan kehakiman di dalam kamar.


Peguam Nizam Bashir, yang mewakili ZI Publication dan Mohd Ezra, memberitahu pemberita mahkamah menolak permohonan inter-parte menda-patkan penangguhan berkenaan mengikut Seksyen 29 Akta Prosiding Kerajaan 1956, dengan alasan mahkamah tidak dapat membenarkan penangguhan terhadap kuasa menyiasat dan pendakwaan oleh sesebuah pihak berkuasa agama. 


"Saya akan mendapatkan arahan daripada anak guam sama ada perlu memfailkan rayuan atau sebaliknya," katanya. 

Nizam berkata, mahkamah juga menetapkan 9 November sebagai tarikh bagi pengurusan kes tersebut. 

Pada 9 Julai, kedua-dua mereka memohon kebenaran untuk menamakan JAIS, pengarahnya, ketua penguat kuasa JAIS, ketua pendakwa Syarie Selangor, kerajaan Selangor dan Kerajaan Malaysia sebagai responden. 

Antara lain mereka memohon mendapatkan perintah certiorari bagi membatalkan tindakan pegawai JAIS yang menyerbu dan merampas 180 naskhah buku pada 29 Mei di syarikat penerbitan ZI Publications di B-2-19, Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan 1, PJU 3, Petaling Jaya, Selangor. 
Mereka juga memohon perintah certiorari untuk membatalkan penahanan Mohd Ezra oleh JAIS pada 29 Mei. 

Mereka menuntut perisytiharan bahawa Seksyen 16 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, berhubung penyiasatan ke atas Mohd Ezra, adalah tidak sah dan tidak selaras dengan Perkara 10(1)(a) dan 8(1) Perlembagaan Persekutuan.

Sumber : Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Widget Busuk