ASTRO Malaysia Holdings Bhd menetapkan harga bagi saham tawaran awam permulaan (IPO) sempena penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada RM3 seunit.
Harga langganan muktamad itu adalah bagi bahagian peruntukan pelabur institusi, pelabur runcit, pelabur strategik utama dan peruntukan khas di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Berdasarkan harga itu, syarikat pengendali perkhidmatan televisyen berbayar milik usahawan Ananda Krishnan itu akan mempunyai nilai permodalan pasaran RM15.6 bilion (AS$5.1 bilion) apabila disenaraikan 19 Oktober ini.
IPO yang akan menjana RM4.6 bilion itu juga adalah ketiga terbesar di Malaysia dan di Asia Tenggara tahun ini selepas Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) dan IHH Healthcare Bhd.
Tawaran IPO
Sempena penyenaraiannya, Astro menawarkan IPO sejumlah 1.52 bilion saham, atau 29.2 peratus modal terbitan dan berbayarnya.
Daripada jumlah itu, 597.69 juta saham atau 11.5 peratus ditawarkan kepada pelabur Bumiputera, 661.75 juta atau 12.7 peratus kepada pelabur institusi yang termasuk pelabur utama, manakala bakinya iaitu 259.865 juta atau lima peratus kepada pelabur runcit.
IPO saham syarikat itu yang diperuntukkan bagi langganan pelabur institusi (tidak termasuk peruntukan untuk pelabur utama dan pelabur Bumiputera) mendapat sambutan menggalakkan apabila mencatatkan lebihan langganan lebih 30 kali.
Mengulas mengenainya, Pengerusi Astro Malaysia, Tun Zaki Tun Azmi, berkata sambutan hangat pelabur terhadap IPO itu mencerminkan amanah dan keyakinan mereka terhadap masa depan kumpulan media hiburan bersepadu antara yang terkemuka di Asia Tenggara itu.
“Pengumuman penetapan harga hari ini (semalam) menandakan satu peristiwa penting dalam pertumbuhan Astro Malaysia, dan dengan sokongan pasukan kumpulan pengurusan yang kukuh dan tenaga kerja yang berdedikasi, kami menuju ke hadapan dengan penuh keyakinan,” katanya.
Pelabur strategik
Kumpulan pelabur strategik utama yang bersetuju melanggan kira-kira 8.3 peratus IPO Astro itu ialah Antelle Holding Ltd, Areca Capital Sdn Bhd, Azentus Global Opportunities Master Fund Ltd, Caprice Capital International Ltd, Corston-Smith Asset Management Sdn Bhd, Gordel Capital Ltd, Great Eastern Life Assurance (Malaysia) Bhd, Kencana Capital Sdn Bhd, Libra Invest Bhd, Myriad Opportunities Master Fund Ltd, Nomura Asset Management Malaysia Sdn Bhd, OZ Asia Master Fund Ltd, OZ ELS Master Fund Ltd, OZ Eureka Fund L.P., OZ Global Special Investments Master Fund L.P., OZ Master Fund Ltd, Permodalan Nasional Bhd, Standard Pacific Capital LLC, Tan Sri Chua Ma Yu, TPG-Axon International L.P., TPG-Axon Partners L.P. dan Universities Superannuation Scheme Ltd.
Sumber : Berita Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan