KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hari ini berkenan menerima watikah pelantikan tiga duta besar dan dua pesuruhjaya tinggi asing ke Malaysia di Istana Negara di sini.
Mereka ialah Duta Besar Somalia Nur Farah Hersi, Duta Besar Myanmar Tha Aung Nyun, Duta Besar Jepun Makio Miyagawa, Pesuruhjaya Tinggi Pakistan Syed Hasan Raza dan Pesuruhjaya Tinggi Tanzania Dr Aziz Ponary Mlima.
Tuanku Abdul Halim dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah kemudian menerima menghadap kesemua ketua perwakilan asing itu.
Turut hadir Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Hamim Samuri dan Timbalan Ketua Setiausaha (Hal Ehwal Pelbagai Hala) Kementerian Luar Datuk Ho May Yong.
Nur Farah, 52, adalah pengasas parti politik Gurmad dan pernah menjadi pensyarah Hubungan Antarabangsa dan Keselamatan Negara di Institut Afqalooc dari 2010 hingga 2012.
Aung Nyun, 57, lulusan Sains Kimia dari Universiti Yangon dan sebelum ini ialah Ketua Pengarah, Jabatan Hal EHwal Konsular dan Undang-Undang di Kementerian Luar Myanmar.
Miyagawa, 63, pula lulusan bidang Kejuruteraan Aeronautikal dan Angkasa dari Universiti Tokyo dan merupakan Timbalan Ketua Pengarah menangani isu-isu global di Kementerian Luar Jepun untuk tempoh 2009 hingga 2010.
Menyertai perkhidmatan luar Pakistan pada 1986, Syed Hasan, 55, pernah berkhidmat sebagai kaunselor politik di Kedutaan Pakistan di Kazakhstan dari 2001 hingga 2003 dan jawatan sebelum ini Duta Pakistan ke Qatar.
Dr Aziz Ponary Mlima, 51, pula ialah perunding di Kementerian Kewangan Sweden sebelum berkhidmat sebagai pegawai khas bekas presiden Tanzania, Benjamin Mkapa pada 2005.
Sementara itu, Tuanku Abdul Halim turut berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada Ketua Perwakilan Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Dr Awang Adek Hussin.
Berkelulusan Ekonomi dari Universiti Pennsylvania, Amerika Syarikat, Awang, 59, pernah memangku beberapa jawatan di Bank Negara termasuk pengarah Jabatan Peraturan Bank (1994) dan penolong gabenor (1996) sebelum dilantik menjadi Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah pada 2004 dan Timbalan Menteri Kewangan pada 2009. - Bernama
Isnin, 31 Mac 2014
Agong terima watikah pelantikan ketua perwakilan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan