Ads 468x60px

Isnin, 31 Mac 2014

Akta Pencegahan Jenayah berkuat kuasa Rabu ini

\

KUALA LUMPUR - Persidangan Dewan Rakyat hari ini diberitahu Akta Pencegahan Jenayah (POCA) (Pindaan dan Pemerluasan) 2013, khusus untuk membanteras jenayah terancang dan berat akan dikuatkuasakan Rabu ini.
   
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata selain bukti kerajaan komited membanteras aktiviti jenayah, akta yang akan diwartakan esok itu bertujuan memastikan usaha pencegahan dapat dilakukan segera.
   
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu) yang ingin tahu bila POCA akan dilaksanakan pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
   
Wan Junaidi menjelaskan akta itu antara lain memberi kuasa kepada Lembaga Pencegahan Jenayah mengeluarkan arahan menahan penjenayah selama dua tahun.
   
Beliau berkata pelaksanaan akta bagi memerangi dan mencegah jenayah dengan lebih berkesan yang membenarkan penahanan tanpa perbicaraan atas kepentingan ketenteraman dan keselamatan awam atau pencegahan jenayah.
   
Kepada soalan asal Datuk Hasbullah Osman (BN-Gerik), yang ingin tahu bagaimana pelantikan anggota ke dalam Lembaga Pencegahan Jenayah dibuat, Wan Junaidi berkata pelantikan dibuat sepenuhnya oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri.
   
"Semua pelantikan adalah melalui perkenan Yang di-Pertuan Agong, dan Kementerian Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak terlibat dalam proses pelantikan itu," katanya. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Widget Busuk