KAJANG - Mungkin ramai menganggap keputusan PRK Dun Kajang Kajang esok tidak membawa sebarang makna dari segi kedudukan kerusi Dun Selangor, tetapi mungkin tidak bagi Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Dilabel sebagai menteri besar yang 'cukup disenangi' dalam konteks membangunkan Selangor, Adun Pelabuhan Klang itu tentunya gelisah kerana keputusan positif diperoleh PKR mampu mengheretnya turun dari teraju kepimpinan negeri.
Walaupun cetusan strategi politik melalui 'Langkah Kajang' untuk menempatkan Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai menteri besar dilihat gagal setakat ini, Abdul Khalid belum selamat kerana 'musuh politiknya' tentu merancang sesuatu apabila menamakan isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon.
Dr Amini Amir Abdullah dari Universiti Putra Malaysia (UPM) berpendapat misi menyingkirkan Abdul Khalid tidak mungkin terhenti sebaliknya akan bertambah kompleks.
Beliau berkata, Anwar dan pasukan pemikirnya, terutama Adun Bukit Antarabangsa Mohamed Azmin Ali, yang perseteruannya dengan Abdul Khalid diketahui umum, tentunya tidak akan mencalonkan Dr Wan Azizah jika sekadar menggantikan suaminya.
Yakin bahawa Abdul Khalid tahu dirinya sedang disingkirkan secara halus, Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia itu bagaimanapun hairan mengapa menteri besar itu tidak menyatakan pendiriannya.
"Walaupun cuba menonjolkan karakter sebagai seorang yang tabah dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, Abdul Khalid tetap perlu menyatakan pendiriannya secara lebih tegas dalam menangani komplot menjatuhkannya demi harapan rakyat," katanya.
Amini Amir berkata jika Abdul Khalid memilih untuk pasrah sebagai tanda hormat, khususnya kepada Anwar yang membawanya ke arena politik, ahli perniagaan berjaya itu perlu juga menghormati pendirian Pas dan DAP yang sepakat meletakkannya di kerusi menteri besar.
"Kita tentu tertanya-tanya kenapa Abdul Khalid membisu walaupun beliau sebenarnya tahu komplot untuk menggulingkannya?. Saya akui Abdul Khalid seorang yang tabah, namun harapan rakyat terhadapnya tidak boleh dikesampingkan begitu sahaja," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.
Berdasarkan rekod, Abdul Khalid bukan tidak pernah membelakangkan Anwar dalam membuat keputusan, contohnya perjanjian penstrukturan semula industri air Selangor yang ditandatangani bersama kerajaan persekutuan baru-baru ini menunjukkan anak kelahiran Jeram itu sebenarnya boleh menolak sentimen 'terhutang budi' demi kebaikan rakyat di bawah pentadbirannya.
Amini Amir berkata Abdul Khalid perlu menyelami rasa gusar rakyat di luar konteks politik kerana perubahan jawatan menteri besar boleh mengganggu kelancaran perancangan dan pentadbiran kerajaan negeri, malah keadaan lebih buruk seperti perebutan jawatan mungkin terjadi.
Beliau berkata bagi mengelak keadaan itu daripada berlaku, 39,278 pemilih yang layak mengundi dalam pilihan raya kecil Dun Kajang Ahad ini perlu menunjukkan solidariti dan keyakinan mereka ke atas pentadbiran Abdul Khalid dengan menolak calon yang berpotensi mencetuskan situasi tersebut.
"Pengundi mesti bijak, jangan terperangkap dengan helah pakatan pembangkang.
Mereka harus berani menolak calon yang berpotensi menjadi boneka Anwar untuk diletakkan di kerusi Menteri Besar Selangor," katanya.
PRK Dun Kajang menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Dr Wan Azizah yang juga Presiden PKR dan calon Barisan Nasional (BN) Datin Paduka Chew Mei Fun. - Bernama
SUMBER
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan