Ads 468x60px

Sabtu, 15 Mac 2014

UPM tubuh Borneo Ekosains


BINTULU 11 Mac - Universiti Putra Malaysia (UPM) merancang menubuhkan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Ekosistem Sains Borneo (Borneo Ekosains) di negeri ini bagi meningkatkan sumbangannya dalam pembangunan penyelidikan dan memanfaatkan kekayaan sumber biodiversiti di Sarawak.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Mohd. Fauzi Ramlan berkata, pusat kecemerlangan itu akan berorientasikan biodiversiti kepulauan Borneo yang meliputi tiga bidang utama iaitu pertanian, perhutanan, dan persekitaran.

Katanya, usaha juga akan dilakukan supaya Borneo Ekosains menjadi pusat pengumpulan koleksi data flora dan fauna di kepulauan Borneo serta penerbitan jurnal dan buku.

"Borneo Ekosains akan mengukuhkan legasi UPM sebagai universiti penyelidikan terkemuka dan berpaksikan penerokaan nilai baharu dengan pelbagai aktiviti yang menyumbang kelestarian hidup serta memberi impak keperluan industri negara.

"Oleh itu kepakaran akan dapat dibangunkan dengan wujudnya pusat ini nanti," katanya dalam ucapan sembah taklimat pada majlis perasmian UPM Kampus Bintulu yang disempurnakan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Canselor universiti berkenaan di sini semalam.

Mohd. Fauzi memberitahu, UPM mengenal pasti enam bidang tujahan untuk dilaksanakan di kampusnya di sini bagi memperkasakan aktiviti penyelidikan dan inovasi.

Menurutnya, enam bidang tersebut adalah tanaman perladangan, tanaman makanan, ternakan, perikanan, perladangan serta biodiversiti dan perhutanan.

Sementara itu Sultan Selangor hari ini berkenan meluangkan masa kira-kira tiga jam melawat Taman Negara Similajau di sini.

Sempena lawatan tersebut, baginda yang juga Canselor UPM diberi penerangan mengenai keunikan serta pengurusan hutan di taman tersebut oleh Sarawak Forestry Corporation (SFC).

Kemampuan baginda merentas laluan berliku dan penuh cabaran sepanjang satu kilometer dengan pantas tanpa henti mengagumkan ramai kakitangan UPM.

Baginda hanya berhenti apabila tiba hujung laluan itu untuk melihat pemandangan pantai dari pelantar tinjau.

Dalam perjalanan balik, Sultan Sharafuddin juga merentas hutan tanpa henti ke Pusat Khidmat Pelanggan Taman Negara Similajau.

Lawatan tersebut adalah bersempena keberangkatan baginda untuk merasmikan UPM Kampus Bintulu di sini semalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Widget Busuk