Ads 468x60px

Isnin, 31 Mac 2014

Isu royalti minyak perlu perbincangan menyeluruh


KOTA BELUD - Perbincangan menyeluruh diperlukan sekiranya isu berhubung cadangan menaikkan royalti minyak untuk Sabah ingin ditimbulkan, kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan.
   
Beliau berkata sebagai pemimpin tempatan dari Sabah, beliau secara prinsipnya bersetuju dengan cadangan menaikkan royalti minyak namun berpendapat pelbagai aspek perlu dibincang dan diperhalusi sewajarnya.
   
"Saya bersetuju dengan pandangan pemuda Barisan Nasional (Parti Bersatu Sabah, Parti Bersatu Rakyat Sabah dan Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko). Cuma mekanismenya perlu diperhalusi. Yang lebih penting bagi saya ialah jumlah peruntukan yang diberikan Kerajaan Persekutuan kepada negeri Sabah itu.
   
"Apakah (peruntukan pembangunan kepada Sabah) lebih banyak daripada negeri-negeri lain? Royalti minyak bukan satu-satunya sumber pendapatan negeri tetapi ia juga dalam bentuk peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Persatuan Nelayan Kawasan Kota Belud di sini hari ini.
   
Beliau mengulas kenyataan tiga sayap pemuda PBS, PBRS dan Upko yang mencadangkan supaya kerajaan persekutuan menaikkan royalti minyak negeri Sabah kepada 20 peratus.

Menurut Abdul Rahman parti pembangkang sengaja memainkan isu royalti minyak di Sabah untuk menyedapkan hati dan demi kepentingan politik mereka semata-mata namun mereka gagal mengemukakan mekanisme pelaksanaan menaikan royalti berkenaan walaupun sudah banyak kali diminta.
   
Katanya pembangkang sepatutnya mengemukakan mekanisme pemberian royalti tambahan sebanyak RM12.5 bilion setahun kepada Sabah, Sarawak dan Terengganu sekiranya royalti minyak dinaikkan kepada 20 peratus daripada lima peratus sekarang dan tidak terhenti setakat membuat tuntutan kenaikan 20 peratus semata-mata.
   
Pada majlis itu Abdul Rahman menyerahkan elaun sara hidup RM200 seorang kepada 556 nelayan. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Widget Busuk