Ads 468x60px

Isnin, 31 Mac 2014

Subsidi: Kerajaan buat keputusan tak popular


KUALA PILAH - Kerajaan telah membuat keputusan kurang popular berhubung tindakan merasionalisasi subsidi, sedangkan usaha itu bagi memastikan keseimbangan antara pembangunan negara, penyediaan prasarana untuk rakyat dan kewangan kerajaan.
   
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek berkata jika kerajaan terus memperuntukkan jumlah subsidi yang begitu besar, defisit kewangan akan meningkat.
   
"Maka adalah lebih wajar untuk kerajaan melaksanakan kaedah subsidi bersasar kepada kumpulan sasaran yang tepat seperti pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), bantuan persekolahan RM100 dan Baucer Buku 1Malaysia (BB1M).
   
"Keprihatinan yang ditunjukkan kerajaan ini membuktikan betapa kerajaan mengambil serius terhadap kebajikan 29 juta rakyat.
   
"Saranan saya ialah sebagai pengguna yang bijak, kita perlu berbelanja secara sederhana dan mengikut kemampuan serta bijak memilih barangan yang memberi nilai terbaik untuk wang yang dibelanjakan," katanya pada Seminar Menangani Peningkatan Kos Sara Hidup anjuran Persatuan Pelindung Pengguna Malaysia (PPPM) di sini, hari ini.

Hasan yang juga anggota Parlimen Kuala Pilah berkata bagi memudahkan pengguna membuat rujukan, portal 1Malaysia pengguna bijak disediakan sebagai platform kepada pengguna untuk mendapatkan maklumat kepenggunaan pada bila-bila masa.
   
Ia juga menyediakan 'price watch' yang memaparkan perkembangan semasa harga lebih 100 barangan yang merangkumi premis seperti pasar raya besar, pasar raya, pasar basah dan kedai serbaneka 24 jam di seluruh negara.
   
Katanya lagi kementeriannya melaksanakan kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) pengguna untuk menyebarkan maklumat dan pendidikan kepenggunaan kepada masyarakat.
   
Katanya peranan NGO sebagai organisasi bebas dan berpengaruh adalah sangat penting dalam membantu menyalurkan maklumat serta penjelasan yang tepat dan cepat kepada pengguna serta mendidik pengguna agar menjadi lebih bermaklumat dan cekap membuat tindakan serta pilihan dalam menghadapi kenaikan kos sara hidup.
   
"Persatuan pengguna di negara ini boleh menjadi 'kumpulan pendesak' yang berkesan terutama dalam menangani isu-isu mengambil kesempatan dan keuntungan yang tidak munasabah.
   
"Di negara maju seperti di Eropah, pengguna berkuasa menentukan permintaan dan penawaran di pasaran. NGO juga bertindak sebagai saluran untuk pengguna mengetengahkan isu-isu semasa kepenggunaan kepada kerajaan," katanya.
 
Sementara itu, katanya kementerian menyedari isu kenaikan harga barang dijadikan isu mainan politik dan contohnya, kenaikan harga barang dijadikan senjata untuk menyerang kerajaan dan menggugat kestabilan politik negara.
   
"Ingin saya jelaskan bahawa kerajaan tidak melaksanakan kawalan harga ke atas semua barangan kerana negara ini mengamalkan sistem ekonomi terbuka yang mana harga pasaran akan dipengaruhi oleh permintaan dan penawaran.
   
"Untuk mengatasi masalah itu, kementerian saya telah mengambil pelbagai langkah termasuk menguatkuasakan Akta Kawalan Harga & Anti Pencatutan dan Akta Persaingan, di samping gerakan pematuhan tanda harga, menambah baik jaringan pengedaran dan mempertingkat penglibatan pasar raya besar dan koperasi," katanya.
   
Di KOTA BELUD, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya rasionalisasi subsidi yang sedang dilaksanakan kerajaan sekarang menzalimi rakyat.
   
Sebaliknya beliau berkata langkah penstrukturan semula subsidi termasuk subsidi petrol dan diesel itu adalah untuk berlaku adil kepada semua lapisan rakyat dengan memberi subsidi itu kepada golongan sasar yang benar-benar berhak menerimanya.

Abdul Rahman berkata yang zalim ialah memberikan subsidi kepada orang yang tidak berhak menerimanya dan membenarkan ketirisan berleluasa dengan begitu banyak melalui penyeludupan.
   
"Kalau pihak pembangkang mengatakan penstrukturan semula subsidi zalim, saya ingin menekankan lebih zalim lagi mereka, kerana membenarkan ketirisan subsidi yang nilainya ratusan juta ringgit sebelum ini yang tiada sekatan," katanya kepada pemberita.
   
Terdahulu, beliau merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Nelayan Kawasan Kota Belud Ke-21 hari ini dan turut menyerahkan bantuan elaun sara hidup bernilai RM200 kepada 556 nelayan daerah Kota Belud.   
   
Menurut Abdul Rahman hasil daripada rasionalisasi subsidi yang dilaksanakan kerajaan itu boleh digunakan untuk pembangunan rakyat dan negara serta memberi bantuan langsung kepada rakyat seperti pemberian BR1M.
   
Terdahulu dalam ucapannya Abdul Rahman menjelaskan pengenalan rasionalisasi subsidi tidak bermakna kerajaan mengabaikan kebajikan golongan berada untuk terus maju dalam setiap bidang diceburi kerana mereka juga adalah pembayar cukai.
   
Bagaimanapun katanya kerajaan mempunyai pendekatan lain dalam membantu golongan berkenaan termasuk menyediakan infrastruktur asas yang moden dan canggih bagi memastikan aktiviti ekonomi mereka terus maju dan berdaya saing serta menyumbang kepada pembangunan negara. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Widget Busuk